Tips Khatam Al-Quran
Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, ada para
sahabat Nabi yang mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh yang sangat singkat.
Namun, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam memberi pesan bahawa jika mahu
khatam dalam masa yang singkat, maka janganlah khatam kurang dari 7 hari.
Dari `Abdullah bin `Amru radhiAllahu `anhuma
bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Bacalah (khatamkanlah) al-Quran dalam sebulan sekali.” Aku
berkata: “Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah
sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Maka, khatamkanlah dalam tujuh
hari, jangan kurang dari itu.”
(HR al-Bukhari)
Pesanan ini bertujuan supaya para sahabat membacanya dalam
keadaan baik, tidak tergopoh-gapah dan membacanya dengan penghayatan.
Kerana manfaat utama dari al-Quran adalah dengan menghayati maksudnya.Di
samping itu, supaya para sahabat tidak melupakan akan tugas dan peranan harian
mereka.
Orang-orang soleh dari kalangan para sahabat, tabi`in,
tabi`ut tabi`in, salafussoleh dan selepas zaman mereka sentiasa dalam masa ke
semasa khatam al-Quran. Mereka bukan sekadar baca dan faham. Malah
mentadabburnya dan menghidupkan inti al-Quran. Kita wajar mencontohi
sifat mereka yang mulia itu.
Memang ada dalam riwayat menceritakan beberapa tokoh
salafussoleh yang mengkhatam lebih singkat dari 7 hari, terutamanya pada bulan
Ramadhan. Namun mereka melakukannya kerana mereka faham akan kemampuan
mereka membacanya dengan tartil, tajwid yang betul, faham makna dan
penghayatan.
Sambil tidak mengganggu aktiviti harian dan tugasan
mereka.Contohnya Imam Asy-Syafi`i diriwayatkan khatam al-Quran sebanyak 60 kali
dalam bulan Ramadhan.Ma sha’ ALLAH! Jauhnya kita. Lemahnya kita.
Khatam Dengan Mudah Dalam Masa 30 Hari
Di sini ingin saya berkongsi sedikit cara yang biasa diamalkan oleh para
muslimin hari ini untuk khatam al-Quran dalam tempoh 30 hari terutamanya
apabila berada dalam bulan Ramadhan. Cara ini adalah cara yang paling
mudah, tidak membebankan dan tidak mustahil dicapai oleh semua. Tinggal
sahaja keazaman dan kerajinan.
Berikut caranya:
Dalam al-Quran mus-haf Uthmani, setiap juzuk al-Quran telah
dicetak dengan ayat-ayat al-Quran sebanyak 20 muka surat. Bermakna setiap
juzuk ada 20 muka surat.
Kita bahagikan 20 muka surat itu kepada 5, iaitu bilangan
solat fardhu: Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. 20÷5=4.
Bermakna setiap solat fardhu, kita hanya membaca 4 muka surat.
Bagi meringankan lagi, kita bahagikan 4 muka surat itu
kepada 2 bahagian, iaitu:
2 muka surat sebelum solat fardhu
2 muka surat selepas solat fardhu
Dengan beristiqamah melakukannya pada setiap
kali solat fardhu selama 30 hari, insyaALLAH kita bakal mengkhatamkan al-Quran
yang padanya ada 30 juzuk itu.